Iklan Stereotaip ‘Wanita Gemuk’ Dikecam


Iklan menjual produk kuruskan badan dikecam teruk kerana menggunakan subjek wanita gemuk yang terpaksa memenuhi permintaan teman lelaki untuk kurus jika mahu berkahwin dengannya.

Iklan produk yang dipromosikan di laman Facebook yang terkenal dengan memuatnaik perkongsian viral, Pen Merah (dot) com, menunjukkan 2 watak iaitu seorang wanita yang awalnya gemuk, langsung tidak dilayan teman lelakinya.

Permintaan wanita untuk berkahwin tidak diendahkan teman lelaki yang menetapkan syarat hanya mahu berkahwin jika wanita itu berjaya mengurangkan berat badan.

Adegan sama menunjukkan lelaki itu mengambil mesin pengira untuk mengira bajet selepas kahwin sekiranya menerima wanita “gemuk” berbanding versi lebih kurus yang dia percaya dapat kurangkan perbelanjaan makan minum sehingga separuh.

Pengguna Facebook, Woohyun Jaebum berkata, “Eleh… Kurus baru nak kahwin… Selagi tak kurus tak kahwin la ye? Dasar pandang rupa paras… Bercinta biar ikhlas.”

Marliza Hamzah pula menulis, “Nak berumahtangga kena jujur terima seadanya, nanti lepas kahwin beranak bini kau gemuk balik kena cerai la gamaknya…sekadar pendapat jangan kecam saya.”

Manakala muat naik status iklan itu berbunyi, “Nak ubah hidup dari badan besar jadi kecil? Guna je C-Trimax Malaysia… Seminggu pertama dah nampak efek dia..insyaAllah belọn-belọn besar tu akan hilang teruihhh.. dah ramai kuruihhhhh.. tag pasangan korạng”.

Idea berbentuk stereotaip seperti ini lazim digunakan untuk menjual produk dan perkhidmatan walaupun dilihat sebagai tidak sensitif dan menghina seseorang.

Label orang gemuk sebagai pemalas, kuat makan, manakala kulit gelap sebagai hodoh, kotor dan jahat antara konsep yang selalunya dipopularkan dalam iklan.

Setiap komen dalam video itu bagaimanapun dikomen dengan jawapan sama dari pihak yang memuat naiknya iaitu untuk menghubungi mereka jika berminat dan mahu mendapatkan produk itu pada harga promosi.

Iklan tersebut ditonton lebih 2.1 juta dan dikongsi oleh lebih 8,400 pengguna.

Di akhir iklan, wanita sama tampil kurus dalam tempoh masa sebulan dan diterima lelaki itu untuk berkahwin.

Source

Related Posts: