Menantu Zahid Hamidi Meninggal Dunia

Menantu Zahid Hamidi Meninggal Dunia

Menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik pergigian di Bangsar di sini, hari ini.

Menurut seorang ahli keluarga Ahmad Zahid yang enggan dinamakan, berkata Syed Alman Zain, 44, suami kepada anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah, 37, telah pergi ke klinik itu kira-kira jam 6 petang untuk mendapatkan rawatan gigi bersama seorang rakannya sebelum dilaporkan tidak sedarkan diri.
"Allahyarham kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan disahkan meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPUM di sini, malam ini.
Menurutnya, sehingga tengah malam ini jenazah Syed Alman Zain sedang dibedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

Katanya selepas selesai bedah siasat, jenazah akan dibawa balik ke Country Heights, Kajang untuk disembahyangkan di Surau An-Nur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Ramal, Kajang, pagi Khamis.

Sementara itu, Nurulhidayah melalui akaun Instagramnya menzahirkan rasa sedih atas pemergian suaminya dengan mencatat:
"Al Fatihah. Syed Alman Zain bin Syed Alwi. Great Papa. Responsible husband. I lost someone that I can argue with. Bye sayang," katanya.
(Al Fatihah. Syed Alman Zain bin Syed Alwi. Papa yang hebat. Suami yang bertanggungjawab. Saya kehilangan seseorang yang saya boleh berbicara. Bye sayang)

Ahmad Zahid, yang dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Jepun sejak Ahad, dijangka tiba di tanah air awal pagi esok.

Syed Alman Zain, seorang graduan teknologi maklumat dari Universiti Utara Malaysia (UUM), merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, iGEN Technology (M) Sdn Bhd., sebuah syarikat vendor perisian bebas.

Related Posts: